RASULULLAH CONTOH SIFU BISNES TERBAIK

November 24, 2017 No Comments by Aishah Sakinah

RASULULLAH CONTOH SIFU BISNES TERBAIK

Bila bercakap soal bisnes, pasti ada antara sifu-sifu atau coach perniagaan yang kita minati dan jadikan sebagai idola dalam bisnes kita.

Jangan lupa juga, Rasulullah adalah idola pertama dalam hidup kita yang mengajar erti kehidupan dari segenap segi. Contohnya dalam bisnes.

Bayangkan Rasulullah sejak berumur 12 tahun sudah mula berniaga bersama dengan bapa saudara baginda Abu Tholib.

Rasulullah sangat hebat dalam perniagaan sebagaimana yang diriwayatkan dalam kisah-kisah sejarah bahawa Baginda sentiasa mendapat keuntungan berlipat kali ganda semasa berniaga barang dagangan Siti Khadijah.

Oleh kerana kepandaian dalam bisnes dan sifat al-ameen Rasulullah, Baginda beristerikan Siti Khadijah iaitu seorang usahawan yang hebat juga.

Rasulullah S.A.W bukan sahaja seorang usahawan yang berjaya, malah baginda juga seorang SIFU BISNES yang hebat.

Jum baca kisah di bawah;

 

KISAH RASULULLAH MENGAJAR ORANG ANSAR BERNIAGA

Telah diriwayatkan bahawa seorang lelaki Ansar telah datang menemui Rasulullah (s.a.w) dan meminta sesuatu daripada baginda. Baginda telah bertanya kepadanya:

“Betulkah tiada apa-apa di rumah kamu?”

Lelaki itu menjawab, “Ya, terdapat sebuah beg dari kain kerpal, sebahagiannya aku pakai dan sebahagian lagi aku hamparkan sebagai tempat aku tidur dan sebiji cawan yang aku gunakan untuk minum,”

Rasulullah S.A.W telah bersabda, “Bawalah kedua-dua barang itu kepadaku.”

Lelaki Ansar itu pun membawa kedua-dua barang itu kepada Rasulullah  (s.a.w). Baginda pun mengambilnya dan bersabda,

“Siapakah yang akan  membeli  kedua-dua barang ini untukku?”

Seorang lelaki menjawab, “Aku  akan  membeli kedua-duanya dengan satu dirham.”

Rasulullah telah bertanya sebanyak dua kali atau tiga kali. Kemudian Baginda (s.a.w) pun bersabda, “Siapakah yang mahu membeli dengan harga yang lebih tinggi?”

Akhirnya seorang lelaki telah berkata, “Aku akan membeli kedua-duanya dengan harga dua dirham,”

Oleh yang demikian, Rasulullah (s.a.w) telah memberikan kedua-dua barang itu kepada lelaki tersebut dan memberikan wang dua dirham  itu kepada lelaki Ansar itu seraya bersabda kepadanya,

“Ambillah wang ini; satu dirham hendaklah kamu gunakan untuk membeli makanan untuk keluargamu dan satu dirham lagi gunakanlah ia untuk membeli sebilah kapak kemudian datanglah kepadaku.”

Tidak lama selepas itu, lelaki Ansar itu pun datang menemui  Rasulullah(s.a.w)  dengan membawa sebilah kapak.

Rasulullah(s.a.w)  pun mengambil kapak itu dan dengan tangan Baginda yang berkat itu beliau memasang hulu kapak itu dan bersabda kepada lelaki Ansar tersebut,

“Pergilah, kamu gunakanlah kapak ini  untuk memotong kayu dan juallah kayu  yang telah kamu potong itu. Janganlah menemuiku selama 15 hari.”

Lelaki Ansar itu melakukan sebagaimana yang disuruh oleh Rasulullah(s.a.w). Selepas 15 hari, beliau pun menemui Rasulullah  dengan membawa sepuluh dirham.

 Sebahagian wang itu telah digunakannya untuk membeli pakaian dan sebahagian lagi untuk membeli makanan.

Rasulullah (s.a.w) telah bersabda kepada lelaki Ansar itu, “Ini adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu datang pada hari kiamat dengan tanda di muka mu yang menandakan kamu adalah seorang peminta sedekah.”

Daripada hadis di atas, terdapat beberapa perkara yang boleh kita simpulkan. Bagaimana baginda menjadi ‘sifu’ yang hebat kepada orang Ansar ini?

  • Rasulullah menyuruh orang Ansar ini bekerja kerana kemiskinannya telah membawa beliau meminta-minta. Pada hari kiamat nanti, dapat mengelakkan beliau daripada mempunyai tanda peminta sedekah di wajahnya.
  • Rasulullah tidak membantunya untuk jangka masa pendek, tetapi sebaliknya memberikan kapak sebagai alat untuk beliau bekerja dan mencari rezeki secara berdikari untuk jangka masa panjang.
  • Kapak yang diberikan itu dibeli daripada hasil jualan tikar dan cawan itu sahajalah yang dipunyai orang Ansar itu.

Kapak itu tidak dibeli dengan menggunakan duit baitulmal agar dengan cara itu, Orang Ansar tersebut mempunyai rasa pemilikan (sense of belonging), meletakkan nilai yang tinggi kepada kapak berkenaan, menjaganya dan menggunakannya dengan sebaiknya.

 

-Kisah ini dipetik daripada buku ‘Dunia Melayu dan Islam: Satu Wacana’ karangan Prof Muhammad Syukri Salleh.

Post a Comment

Your email is never published or shared. Required fields are marked *